BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 26 June 2011

Convert or Revert ?

Hari ini, sepanjang hari saya bersama KAWAN. KAWAN (Sukarelawan Pendidikan Rakyat ) telah anjurkan program 'Sehari Bersama KAWAN' di Taman Muhibbah Kajang dan sambutan dikalangan penduduk taman tersebut agak memberansangkan. Sebenarnya, saya bukanlah AJK yang terlibat menguruskan program, sekadar menyibuk-nyibukkan diri bersama sahabat-sahabat saya dari HUKM Cheras ni. Sambil buka booth pemeriksaan kesihatan percuma bagi penduduk taman, mereka juga mengambil peluang yang tersedia untuk menjana ekonomi. Menjual DADIH! huhu. So, i lend my hand for them, tolong sekali jualkan dadih. Sambil-sambil tu, sempat juga saya menjadi 'bidan terjun' sebagai fasi menjaga check point "tiang", semasa adik-adik peserta ber'explore-race'.hehe. Penat tapi menggembirakan!


Tapi, apa yang ingin saya kongsikan disini sebenarnya, bukanlah mengenai program tersebut. Apa yang lebih menarik, setelah tiba waktu zohor, kami seperti biasa ke surau bersama untuk tunaikan solat. Setibanya di sana, kami lihat ramai orang berkumpul di tengah-tengah surau. "Ada majlis akad nikah ke?"-hati berbisik. Semua yang berada di surau senyap, sepi tidak bersuara. Seorang anak gadis duduk berteleku di hadapan imam mendengar dengan khuyuk. "Amal, ada orang nak convert hari ni"-kak azma menerangkan. Allahu Akbar. Benar sekali. Seorang gadis indonesia yang asalnya Kristian, ingin kembali kepada fitrah. Kembali kepada Islam. Pertama kali saya melihat peristiwa ini dihadapan mata saya sendiri. Imam mengajar Sandra (nama Kristian gadis tersebut) mengucapkan syahadah. "Asyhadu anlaa ilaa ha illallah..wa asyhadu anna muhammadarrasulullah..". Hati terasa sayu. Kebanyakan hadirin yang menyaksikan proses tersebut mengucapkan hamdallah sambil menitiskan air mata, rasa syukur kerana hidayah Allah telah sampai kepada seorang lagi hamba-Nya. 

Sandra telah kembali kepada fitrah. Yes, she revert to Islam not convert to Islam. Fitrah seorang anak yang asalnya dalam kandungan ibunya dia Islam. Hanya dicorakkan menjadi Kristian mahupun Yahudi oleh ibu bapanya sendiri setelah dilahirkan. Betapa mahalnya Hidayah Allah, kerana tidak semua orang di muka Bumi ini dapat menikmatinya. Maka, bermuhasabahlah kita, bersyukur kerana sejak dilahirkan, kita telah pun dilorongkan jalan menjadi seorang muslim. Janganlah kita sekadar menjadi seperti barangan percuma yang mudah didapati, tetapi tidak berkualiti. Kerana ia mudah rosak dan gagal menjalankan fungsinya dengan baik. Jadilah kita Islam permata, yang menyinar dan disayangi tuannya. Kerana ia pasti diletakkan ditempat yang terbaik, kerana kualiti yang dimiliknya. Jadi, Islam Percuma atau Islam Permatakah kita, kita sendiri yang tentukan. 



Let us revert to Islam. Kembali kepada fitrah. Kembali melaksanakan fungsi sebenar kita yang telah Allah gariskan untuk kita di muka bumi ini. Menjadi HAMBA, PEMIMPIN dan DAI'E yang menegakkan syiar Islam yang agung.

"Aku telah ridha Allah sebagai Rabbku, dan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku."

Wallahu a'lam~

Saturday 25 June 2011

Persepsi


Dalam menerajui kepimpinan sesuatu organisasi, setiap pemimpin pasti merasai tekanan. Namun, sedarkah kita, bahawa tekanan itu bukanlah suatu siksaan, malahan kurniaan dari Allah, memberi kita peluang merasai cinta-Nya terhadap kita. Jika kita mencari hikmah disebaliknya, kita pasti temui bahawa, dengan tekanan ianya mampu meransang kita meningkatkan potensi diri. Cuba kita ibaratkan diri kita seperti sebiji bola, semakin banyak tekanan yang dikenakan, semakin tinggi bola melantun, begitulah semakin terserlahlah potensi diri. Inilah yang kita gelar sebagai "Lord of Pressure". Namun untuk menentukan samada ianya benar atau tidak, segalanya bergantung kepada cara kita melihat. Samada kita melihat dengan mata atau mata hati, yang akan menentukan sesuatu yang terjadi itu (+)ve atau (-)ve. 

Kesilapan, adalah guru yang terhebat dalam diri. Apabila bergerak kerja dalam organisasi tanpa mata hati, kita hanya melaksanakan tanggungjawab atas dasar semangat semata-mata. Kesannya, apabila telah penat, kita akan terhenti. Semangat yang pada awalnya membara akan pudar. Ini kerana kita tidak cuba mencari kesan pada diri. Letakkanlah niat dalam bergerak kerja, kita juga mahu mendapatkan 'makna' pada diri, barulah stamina dan semangat berterusan dengan kefahaman. Teori Pareto ada menyatakan, dalam suatu organisasi, masalah pengurusan hanyalah masalah terbitan. Masalah dasarnya adalah kesilapan PERSEPSI dalam organisasi. Sebenarnya, berorganisasi adalah latihan bagi pemimpin untuk terus membuat kesilapan bagi membentuk sikap. Persepsi membentuk sikap. Perlu kita tahu, kegagalan dalam organisasi zaman kini, disumbangkan oleh 70% masalah sikap ahli. 

Who you are determine how do you see. So, please determine what will you get from your organisation. 'How do you see' disinilah yang kita katakan sebagai PERSEPSI. Mari kita lihat, bagaimana tiga kelompok yang berbeza, memberikan persepsi terhadap satu benda yang sama, IKAN. Nelayan, dari golongan sosio-ekonomi rendah melihat ikan sebagai sumber rezeki. Jurutera pula, melihat ikan sebagai plantar minyak. Manakala golongan orang-orang kaya, melihat ikan sebagai sumber ketenangan. Tiga persepsi yang berbeza boleh ditimbulkan serentak dari sumber yang sama. Inilah persepsi. 

Kita boleh lihat, bagaimana Rasulullah mempunyai kejelasan dalam membina persepsi supaya dapat menentukan hala tuju dakwah yang hendak dibawa. "Katakanlah (Muhammad),"Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." (12:108). Dengan keyakinan berdasarkan imaginasi yang kuat bahawa Baginda pasti dapat menawan kota Makkah, Rasulullah bertawakkal dalam membenarkan perjanjian Hudaibiyah dipateri walaupun perjanjian tersebut menampakkan berat sebelah terhadap kaum kafir. Kita juga perlu melihat bagaimana Sultan Muhammad al-Fateh yang telah dilatih membina imaginasi oleh ayahandanya Sultan Murad semenjak kecil bahawa suatu hari nanti beliau pasti dapat menawan kota Konstantinopel, telah dibuktikan dengan kejayaannya. 

Clear vision is not about how much you can imagine something, but it is how deep you can feel from the imagination. All of us, have our own benign desire that can ensured us to improve our quality in works. Jadi, gunakan mata hati dalam melihat dan mentafsir masalah akan menyerlahkan lagi potensi diri. Kebanyakan dari kita selalu tersalah beri persepsi terhadap sesuatu perkara disebabkan kita kurang maklumat mengenainya. Jadi, tambahkan ilmu, kerana leader is reader. Kita adalah pemimpin yang stereotype jika kita tidak boleh memimpin diversiti yang pelbagai hanya kerana kekurangan maklumat. 

Apa yang penting, pastikan kita punyai clear vision dan betulkan pandangan mata hati. Letakkanlah 'makna' pada diri untuk merasa seronok dalam melaksanakan tanggungjawab. Pastikan juga setiap kerja yang kita lakukan, menyumbang kepada Islam. Ingatlah janji Allah, selagi mana kita menjaga hak Allah, insyaAllah, Allah akan sentiasa mencukupkan hak kita. 

Wallahu a'lam~

Pengklonan Manusia "Idea dari Tuhan"?


Berlanjutan dari keberjayaan dua saintis barat iaitu Ian Wilmut dan Keith Campbell mengklonkan kambing biri-biri Dolly dari sel somatik induknya pada 5 Julai 1996, para saintis barat nampaknya semakin aggresif dalam bidang ini, sehinggakan telah timbulnya idea untuk mengklonkan manusia. 

Idea ini telah mencetuskan kontroversi dunia terutama dari segi etika sains. Walaupun pengklonan manusia telah disepakati dunia untuk diharamkan, namun saintis barat punyai alibi tersendiri untuk menyatakan bahawa idea ini bukanlah suatu yang salah. Menurut mereka, idea pengklonan manusia ini mereka dapat dari Tuhan dengan bukti-bukti yang cukup jelas difahami oleh kita sebagai seorang muslim iaitu :

1. Nabi Adam a.s yang dilahirkan tanpa ibu dan bapa

2. Hawa' yang dilahirkan tanpa ibu, hanya diambil dari tulang rusuk Nabi Adam a.s

3. Nabi Isa a.s yang dilahirkan tanpa bapa melalui rahim Maryam

Hakikat penciptaan Nabi Adam a.s tanpa melalui perhubungan antara ibu dan bapa menjadi asas dalam prinsip pengklonan mereka. Hawa yang dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s juga menyebabkan para saintis barat berpegang kuat bahawa dibolehkan dalam sains untuk mengambil sel-sel tisu, atau mana-mana organ dalam tubuh manusia untuk menghasilkan seorang lagi individu yang sama. Lebih teruk lagi, mereka berpendapat bahawa Nabi Adam a.s adalah bapa kepada Hawa' yang juga menjadi pasangan hidupnya. Mungkin kerana ini jugalah, budaya perhubungan sumbang mahram antara anak perempuan dan bapa sendiri menjadi kebiasaan di negara-negara barat. Dari kisah kelahiran Nabi Isa a.s tanpa bapa pula, mereka telah mengambil contoh, sekiranya Tuhan telah menghasilkan individu bukan secara 'semulajadi', mereka juga boleh melakukannya tanpa perlu melalui proses persenyawaan normal. Ini juga menjadi hujah yang kuat dalam membenarkan kegiatan 'ibu tumpang' yang semakin meluas kini dalam mendapatkan zuriat. 

Walaubagaimanapun, tindakan berani mereka untuk menghasilkan manusia klon ini telah mencabar kuasa Tuhan. Sebenarnya, mereka telah benar-benar menyalah tafsirkan ciptaan-ciptaan Tuhan ini. Bahkan, ilmu yang mereka miliki sangatlah sedikit kerana maklumat dalam otak manusia adalah terbatas. Mereka tidak tahu apakah keburukan jangka panjang 'produk' ciptaan mereka ini. Ini kerana, mana mungkin untuk mengetahui kebaikan dan keburukan suatu barang, kita tanyakan kepada si pengguna barang yang ilmunya sama seperti kita, tetapi sebaliknya, haruslah dirujuk kepada penciptanya. Fikir-fikirkan..

Wallahu a'lam~

Friday 24 June 2011

Terpelihara? Ya..


Sekali kita pilih untuk berada di jalan Allah, hidup kita insyaAllah, akan terpelihara. Benarkah? Alhamdulillah, diriku merasainya. Memilih untuk hidup lain dari mereka-mereka yang kebiasaannya tidak mahu ambil peduli tentang Islam, memang satu kelainan. Semenjak menjadi ahli haraki, walaupun asalnya hidup ini susah, alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Diri berasal dari keluarga yang bertaraf ekonomi rendah, namun sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah. Allah permudahkan segalanya. Kemana-mana pun aku pergi, disana pasti ada sahabat sefikrah menanti, memastikan diri ini sentiasa tidak pernah terlepas ke ruangan fitnah dunia. Allah telah merancang, semuanya kurasakan yang terbaik bagi diri ini. 

Menjalani latihan industri di sebuah hospital yang kukira biasa-biasa sahaja tempatnya, rupa-rupanya memberikan pengalaman yang berbeza. Siapa sangka, di tempat kerjaku kini, kebanyakan stafnya tidak terlepas dari solat Dhuha. Solat fardhu mereka, sentiasa berjemaah. Pengajian di surau pasti tidak sunyi. Kelas bahasa arab juga diadakan bagi mana-mana staf yang berminat, dan sungguh mengejutkan ramai diantara mereka yang mengikutinya. Itulah fenomena yang berlaku di jabatan mikrobiologi PPUKM (HUKM) kini. Suasana bi'ah solehah yang masih boleh aku rasakan, mengundang rasa syukur tidak terhingga kepada-Nya, kerana masih memelihara diriku dari terjatuh ke dunia yang melalaikan. 

Ya, selagi mana kita istiqamah bertekad untuk berada di jalan Allah, Allah pasti memelihara diri kita. Namun, ianya juga merupakan ujian buat kita, agar tidak terlalu senang berada di comfort zone, merasakan kerja-kerja dakwah tidak perlu dilakukan kerana semuanya telah merasakan hidup ber'Tuhan'. Tidak, sebenarnya masih banyak lagi kerja-kerja Islam yang boleh kita lakukan untuk membawa masyarakat setempat faham dan hayati cara hidup Islam. Hidup cara Islam bukan sekadar amalan, malah berdasarkan kefahaman dan akidah yang benar.  


"Wahai Tuhan, pemilik hati sekalian manusia.. tetapkanlah hati kami dengan agama-Mu(Islam). Maha Suci Engkau, sesungghnya aku adalah dari golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri.."



Tuesday 21 June 2011

Analogi Usrah & Solat

Usrah. Tingkatan usrah ada tiga. Ya, kita tahu itu. 'Taaruf, tafahum dan takaful'. Semua tahu, taaruf maksudnya saling berkenalan. Tafahum pula, memahami dan takaful, pasti bukan insurans, tapi saling tolong-menolong. Tetapi, setakat itu sajakah pengertiannya? Pastikah yang kita benar-benar telah sampai ke peringkat takaful, setelah 3 tahun berusrah di universiti masing-masing, setelah bergelar super senior? Sudah tentulah tidak!

Kayu ukurnya senang saja. Cuba kita analogikan kita berusrah dengan kita solat fardhu. Bayangkan, semasa kita berumur 7 tahun, mak abah dah ajar kita bersolat. Walaupun dalam keadaan terpaksa, kita lakukan juga. Sehinggakan kadang-kadang bila mak tanya, "ha, adik dah solat?" dengan selambe saja kita jawab, "dah mak" walaupun sebenarnya belum, sekadar keluar dari bilik air dengan muka 'suci' dibasahi air paip dipipi. Tektik lama, semua orang tahu. Itu hakikat kehidupan kanak-kanak yang baru hendak dibentuk. Begitulah juga ketika kita mula-mula diajak berusrah. Liat bukan main. Macam-macam alasan dah pernah keluar, "kak, petang ni saya ada study group lah. maaf tak dapat join". "bang, maaf, minggu ni ana balik kampung, mak panggil balik, suruh tolong ajar adik kat rumah." Sudah pasti semua naqib-naqibah pernah merasai situasi ini kan? Takpe, sabar. Mereka masih baru. Nak mengajak orang ke arah kebaikan, perlukan kesabaran. Barulah hasilnya lumayan.

Ok, sekarang kita pergi ke peringkat ke-dua, iaitu tafahum. Bayangkan kita kini berumur 15 tahun. Tingkatan 3 dah tu. Waktu ini, kita telah rajin bersolat, malah mula menyukai berjemaah. Sudah duduk di sekolah berasramalah katakan, pasti solat bukan lagi paksaan. Tinggal bersama kawan-kawan menyebabkan semua saling memperingatkan untuk tunaikan solat. Kawan sebelah katil, pasti faham, perangai kita ini, sama ada senang atau susah nak bangun solat subuh. Jadi, sama-sama pastikan. Supaya subuh tidak ketinggalan. Jadi, begitu juga usrah, pada tahap ini, semua ahli seusrah telah saling memahami, prinsip asas Islam yang menjadi tunjang perbincangan usrah juga telah dihadam, menyebabkan tiada lagi kes, 'lari-lari usrah' berlaku. Semua telah fahami, usrah sangat perlu sebagai makanan rohani. Membentuk peribadi dan disiplin muslim mukmin yang sebenar.

Peringkat terakhir, takaful. Bagaimana yang dikatakan takaful atau saling tolong-menolong ini? Pengenalan dan kefahaman yang telah kita peroleh pada peringkat awal sebentar tadi, membawa kepada satu nilai yang mendorong kita dengan sendirinya, menyumbang untuk kebahagiaan orang lain. Hasil kefahaman yang sebenar dalam jiwa telah menggerakkan sendiri jasad ini untuk sentiasa menyumbang demi Islam. Begitulah juga, jika kita telah benar-benar matang, diri menjadi dewasa dengan didikan sentiasa perlu solat. Tanpa sedar, kita sendiri tanpa perlu dipaksa-paksa, tanpa perlu diperingatkan, akan tunaikan kewajipan kita bersolat di awal waktu. Sehinggakan, jika dalam sehari, katakan kita terlewat untuk solat disebabkan sibuk bekerja, hati pasti rasa tak tenang, sampailah kita pergi tunaikan solat. Inilah dikatakan tahap takaful yang sebenar. Apabila kita tidak laksanakan kerja-kerja untuk Islam, hasil kefahaman kita dari apa yang kita peroleh ketika usrah, hati tidak akan tenang. Sebagaimana solat yang telah sebati dengan darah daging kita, begitulah juga dengan kerja-kerja Islam yang akan sebati dengan jiwa kita. Bila ditinggalkan, hidup rasa kekurangan. Resah dan gelisah. Jika inilah apa yang kita rasakan setelah lama berusrah, alhamdulillah. Apa-apa pun, tahap pencapaian masing-masing terletak pada diri kita sendiri. Tiada seorang pun yang dapat menilai. Tepuk dada, tanya IMAN!

Wallahu'alam~

melentur buluh, biarlah dari rebungnya..

Selamat Hari Lahir, Sayang. .

Dia adalah insan yang aku sayangi
Dia banyak meluahkan perasaannya padaku
Tiap kali resah, telefonku akan berdering
dan suaranya terdengar di hujung corong talian
Dia mengkritik sambil menasihat
membuatkan jiwaku terkesan dan pemikiranku matang,ligat berfikir
Namun, jiwa sebenarnya lembut
rapuh 
mengharap dan memberi kasih sayang
Dia menuntut kehidupan yang lebih tenang
Dia sering gusar dan gelisah
mengenangkan nasib 'mereka-mereka' yang kian bermasalah

Aku ingin memberikan dia kedamaian
Aku ingin hatinya selalu tenang
Aku ingin dia hidup tenteram
Aku ingin dia yakin hidup ber'Tuhan'kan Allah
Aku ingin dia sihat dan selalu tersenyum
Aku ingin dia kecapi segala apa yang dia impi
Aku ingin dirinya sentiasa disayangi
Aku doa'kan dia sentiasa Allah redhai dan rahmati..

Dialah insan yang banyak berkorban
Dia insan berjasa, yang tak mampu aku balas dengan nyawa
Dialah penenang jiwa...

Selamat Hari Lahir yang ke-46
Emak. . 
Along sentiasa menyayangimu . . 


"Ya Allah ya Tuhanku, sayangilah ibuku ini.. Bukakanlah pintu taubatmu buat dirinya..Berikanlah dia hidayah-Mu,tanda kasih sayang-Mu, sebagaimana kasih dirinya terhadap diriku, semenjak aku kecil, hingga dewasa kini..Redhai dan rahmatilah hidupnya..kerana aku mencintainya, ya arhamarrahimin. ."