Usrah. Tingkatan usrah ada tiga. Ya, kita tahu itu. 'Taaruf, tafahum dan takaful'. Semua tahu, taaruf maksudnya saling berkenalan. Tafahum pula, memahami dan takaful, pasti bukan insurans, tapi saling tolong-menolong. Tetapi, setakat itu sajakah pengertiannya? Pastikah yang kita benar-benar telah sampai ke peringkat takaful, setelah 3 tahun berusrah di universiti masing-masing, setelah bergelar super senior? Sudah tentulah tidak!
Kayu ukurnya senang saja. Cuba kita analogikan kita berusrah dengan kita solat fardhu. Bayangkan, semasa kita berumur 7 tahun, mak abah dah ajar kita bersolat. Walaupun dalam keadaan terpaksa, kita lakukan juga. Sehinggakan kadang-kadang bila mak tanya, "ha, adik dah solat?" dengan selambe saja kita jawab, "dah mak" walaupun sebenarnya belum, sekadar keluar dari bilik air dengan muka 'suci' dibasahi air paip dipipi. Tektik lama, semua orang tahu. Itu hakikat kehidupan kanak-kanak yang baru hendak dibentuk. Begitulah juga ketika kita mula-mula diajak berusrah. Liat bukan main. Macam-macam alasan dah pernah keluar, "kak, petang ni saya ada study group lah. maaf tak dapat join". "bang, maaf, minggu ni ana balik kampung, mak panggil balik, suruh tolong ajar adik kat rumah." Sudah pasti semua naqib-naqibah pernah merasai situasi ini kan? Takpe, sabar. Mereka masih baru. Nak mengajak orang ke arah kebaikan, perlukan kesabaran. Barulah hasilnya lumayan.
Ok, sekarang kita pergi ke peringkat ke-dua, iaitu tafahum. Bayangkan kita kini berumur 15 tahun. Tingkatan 3 dah tu. Waktu ini, kita telah rajin bersolat, malah mula menyukai berjemaah. Sudah duduk di sekolah berasramalah katakan, pasti solat bukan lagi paksaan. Tinggal bersama kawan-kawan menyebabkan semua saling memperingatkan untuk tunaikan solat. Kawan sebelah katil, pasti faham, perangai kita ini, sama ada senang atau susah nak bangun solat subuh. Jadi, sama-sama pastikan. Supaya subuh tidak ketinggalan. Jadi, begitu juga usrah, pada tahap ini, semua ahli seusrah telah saling memahami, prinsip asas Islam yang menjadi tunjang perbincangan usrah juga telah dihadam, menyebabkan tiada lagi kes, 'lari-lari usrah' berlaku. Semua telah fahami, usrah sangat perlu sebagai makanan rohani. Membentuk peribadi dan disiplin muslim mukmin yang sebenar.
Peringkat terakhir, takaful. Bagaimana yang dikatakan takaful atau saling tolong-menolong ini? Pengenalan dan kefahaman yang telah kita peroleh pada peringkat awal sebentar tadi, membawa kepada satu nilai yang mendorong kita dengan sendirinya, menyumbang untuk kebahagiaan orang lain. Hasil kefahaman yang sebenar dalam jiwa telah menggerakkan sendiri jasad ini untuk sentiasa menyumbang demi Islam. Begitulah juga, jika kita telah benar-benar matang, diri menjadi dewasa dengan didikan sentiasa perlu solat. Tanpa sedar, kita sendiri tanpa perlu dipaksa-paksa, tanpa perlu diperingatkan, akan tunaikan kewajipan kita bersolat di awal waktu. Sehinggakan, jika dalam sehari, katakan kita terlewat untuk solat disebabkan sibuk bekerja, hati pasti rasa tak tenang, sampailah kita pergi tunaikan solat. Inilah dikatakan tahap takaful yang sebenar. Apabila kita tidak laksanakan kerja-kerja untuk Islam, hasil kefahaman kita dari apa yang kita peroleh ketika usrah, hati tidak akan tenang. Sebagaimana solat yang telah sebati dengan darah daging kita, begitulah juga dengan kerja-kerja Islam yang akan sebati dengan jiwa kita. Bila ditinggalkan, hidup rasa kekurangan. Resah dan gelisah. Jika inilah apa yang kita rasakan setelah lama berusrah, alhamdulillah. Apa-apa pun, tahap pencapaian masing-masing terletak pada diri kita sendiri. Tiada seorang pun yang dapat menilai. Tepuk dada, tanya IMAN!
0 comments:
Post a Comment